Ujian Saloran Fallopio
X-Ray Rahim (HSG)
Untuk mengetahui keadaan dalam rahim dan saluran benih (fallopian tubes), saya sering melakukan ujian x-ray rahim (hysterosalpingogram) atau diringkaskan sebagai H.S.G. Ini adalah satu tata-cara di mana doktor pakar x-ray akan melakukan satu suntikan cecair khas ke dalam rahim melalui saluran faraj, mengambil 4-5 gambar x-ray dan dari situ doktor akan dapat mengesan samaada saluran benih (fallopian tubes) isteri tersumbat atau tidak.
Kadang-kala sering juga berlaku saluran benih ini kuncup (spasm) dan setelah di-injek dengan cecair saluran benih akan terbuka. Sebab itu ujian ini sangat penting, khususnya bagi mereka yang belum pernah menjalani ujian atau rawatan sebelum ini. H.S.G. adalah satu ujian yang senang dilakukan serta murah harganya.
Dianggarkan lebih kurang 15 hingga 20 peratus daripada wanita-wanita yang telah menjalani prosedur H.S.G. akan hamil dalam tempoh 3 hingga 6 bulan berikutnya.
Jika mereka tidak lagi hamil dalam tempoh 3 hingga 6 bulan selepas ujian H.S.G., saya syorkan mereka jalani satu tatacara pembedahan kecil yang boleh dilakukan di klinik sebagai pembedahan harian (day surgery).Setelah dibius, doktor akan melakukan prosedur ini dengan mengembangkan saluran pangkal rahim, cuci dalam rahim untuk membuang lemak yang biasanya dalam bentuk ‘endometrial polyps'.
Endometrial Polyps
Prosedur ini digelar 'polypectomy'. Disamping itu saluran benih (fallopian tubes) yang mungkin kuncup semula atau tertutup perlu dibuka semula melalui proses 'hydrotubation'. Jadi ketiga-tiga perkara dilakukan serentak, iaitu untuk membersihkan, membesarkan saluran pangkal rahim serta saluran benih.
Selepas rawatan ini saya juga memberi masa 3 - 6 bulan samada wanita tersebut boleh hamil atau tidak dan saya dapati juga lebih kurang 20 peratus wanita hamil selepas menjalani prosedur ini.
Pembedahan Laparoscopy
Pembedahan Laparoscopy adalah satu tatacara pembedahan yang sangat penting bagi mengesan punca dan juga untuk merawat berbagai jenis kemandulan. Setelah pesakit bius , satu hirisan kecil (1/2 inci) pada bawah pusat dilakukan untuk memasukkan teropong laparoscop. Melalui teropong ini doktor dapat melihat organ-organ di dalam perut, khususnya untuk mengesan berbagai penyakit di bahagian peranakan. Keadaan saluran benih dapat nilai dengan teliti samaada ia berfungsi atau tidak. Begitu juga keadaan ovari/kilang telur, samada normal atau tidak. Sekitaran rahim khususnya di ruang belakang rahim (P.O.D.) di mana percantuman antara benih lelaki dengan telur perempuan berlaku dapat ditinjau melalui teropong laparoskop. Kesemua penilaian tersebut tergulung dalam apa yang digelar ‘diagnostic laparoscopy’.
Sekarang ini kita boleh melakukan berbagai tatara pembedahan melalui teropong laparoscop dan kaedah-kaedah tersebut tergulung di dalam apa yang digelar ‘laparoscopic surgery’. Di antaranya ialah pembedahan seperti membuang ketumbuhan 'fibroid' yang kecil, tumbuhan 'ovarian cyst' pada kilang telur yang disebabkan oleh darah kotor dari penyakit ‘endometriosis’, ataupun yang mengandungi cecair atau lendir. Melalui teropong laparoscop kita juga boleh membuat pembetulan atau membaiki saluran benih yang bermasalah seperti tersumbat atau melekat-lekat. Kita juga boleh melakukan rawatan laser atau cautery pada penyakit seperti endometriosis atau memisahkan organ organ peranakan yang melekat-lekat, dan melakuakakan ‘ovarian drilling’bagi penyakit ‘ polycystic ovary’. Saya biasanya menggandingkan 'laparoscopy' dengan ‘ mini-laparotomy ’ dimana saya membuat pembedahan kecil sepanjang 2-3 inci pada bahagian ari-ari. Ini bertujuan untuk memudahkan saya melakukan semua tata-cara pembedahan yang tersebut diatas.
Laparosocopy juga penting dalam kaedah rawatan Bayi Tabung Uji GIFT. Ini adalah satu kaedah bayi tabung uji di mana wanita tersebut telah diransang telurnya, kemudian diambil telurnya melalui teropong laparoscop dan dicantumkan dengan benih suami. Seterusnya benih suami dan telur akan dimasukkan ke dalam muncung saluran falopian untuk persenyawaan secara biasa.
Sering saya lakukan pembetulkan bgi kedudukan rahim yang biasanya jatuh ke tongking 'retroverted uterus' yang biasa berlaku dalam penyakit endometriosis. Pembedahan laparoscopy ini biasanya kita lakukan sebagai 'day surgery' di mana pesakit tersebut akan masuk ke wad pembedahan harian. Pada hari itu pesakit tersebut perlu berpuasa bermula dari malam sebelumnya untuk membolehkan doktor pakar bius memasukkan biusnya secara umum. Setelah melakukan pembedahan dan tata-cara laparoscopy, biasanya pesakit akan di rehatkan di wad harian. Adakalanya ia boleh balik pada hari yang sama, tetapi demi untuk keselamatan, saya akan jaga pesakit tersebut sampai keesokan harinya, takut jika pesakit mengalami kesan sampingan selepas dibius.
Saya dapati pembedahan laparoscopy yang disertai dengan tata-cara untuk membetulkan peranakan, membetulkan saluran fallopian yang sumbat, untuk membuang tumbuhan endometriosis atau fibroid adalah sangat berkesan sekali dari segi kejayaan untuk mendapatkan kehamilan. Kaedah-kaedah rawatan lain untuk merawat penyakit endometriosis seperti ubat-ubatan, kurang berkesan jika dibandingkan dengan pembedahan yang disertai dengan pembetulan bagi kedudukkan peranakan dan pembersihan sekitaran dan bahagian belakang rahim.
{ 0 komentar... Views All / Send Comment! }
Posting Komentar